Sunday, March 6, 2011






RONDAAN RODA KEHIDUPAN

Mungkin ramai yang tertanya akan kehilangan sanginsankerdil tanpa bingkisan ceritera.

Mungkin juga sudah ada yang meneka dengan pelbagai andaian akan ketiadaan suara tulisan sanginsankerdil.

Mungkin ada yang membuat kesimpulan mudah memandangkan setahun lebih sanginsankerdil tidak mengirim perkhabaran diri.

Apapun yang menjadi tanda tanya, InsyaALLAH akan terjawab dengan lontaran ceritera yang akan sanginsankerdil nyanyikan dalam rentak tulisan berpaksikan suara hati.

Apapun yang menjadi tekaan daripada andaian, InsyaALLAH akan dirungkai dalam helaian bibir sanginsankerdil.

Apapun jua yang disimpulkan, inilah alam yang ingin dikongsi oleh sanginsankerdil.

Suara lubuk hati memberontak ingin melayangkan pelbagai cerita tentang alam yang ditempuh dengan kudrat yang dianugerahkan oleh Ilahi. Persoalan iman yang semakin surut dengan dosa dan persangkaan buruk seakan menghalang lisan meneruskan misi penulisan. Doa dan berkat dipinta daripada insan yang mengenali sanginsankerdil untuk tidak berputus doa mendambakan yang terbaik untuk kehidupan bersama. Akhirnya inilah permulaan roda yang dikayuh dalam sebuah pengembaraan yang dihidang untuk pembaca blog sanginsankerdil. Misi setahun senyapnya diri dimulakan dengan santapan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau (SMKGR). Mungkin basinya cerita ini sudah mengeluarkan bau yang dasyat bagi sesetengah insan, namun cerita 3 bulan di SMKGR tidak akan dan tidak pernah padam daripada kotak kehidupan sanginsankerdil. Mulanya langkah ke gedung ilmu di Kuantan Pahang ini dengan harapan agar bisa diterima oleh warganya dan menjayakan tugasan terakhir sebagai seorang penuntut. Alhamdulillah suasana yang dingin pada awalnya semakin menemui keserasian bersama warga SMKGR. Namun hubungan intim antara sanginsankerdil sebagai guru terlatih dengan warga SMKGR bukanlah ceritera yang mendasari perkongsian ini, namun ada sesuatu yang perlu untuk kita renungi dan fikirkan bersama.

“Kasih Husna, ibu dah berjuang habis-habisan untuk melahirkan kamu, ibu dah tak berdaya, inilah perjuangan ibu setelah kakak dan abangmu tersungkur menyembah bumi, kudrat ibu hanya sampai di sini Kasih Husna. Kini tibalah giliranmu anakku untuk berjuang mempertahankan mahkota cinta antara ibu dan ayah, menjadi lambang teguhnya kasih ibu dan ayah.”

Semua ibu yang melahirkan insan di bumi barakah ini punyai cerita tersendiri. Lazimnya semua ibu berjuang agar dapat memeluk cium zuriat yang dinanti-nantikan untuk melihat alam ciptaan yang Esa. Setelah beberapa kali tewas dalam memperjuangkan harta paling berharga di dunia ini, akhirnya Kasih Husna menjadi bibit yang memberi senyuman bermakna buat kak Sunita dan suami. Penyakit yang dideritai oleh kak Su menggagalkan harapan untuk mendapatkan cahaya dalam kehidupan rumahtangga. Gelaknya perwira wanita ini tidak lagi mampu menyembunyikan pedih yang ditangisi dihadapan Pencipta. Bayangkan setelah tujuh kali mengandung anak yang ditunggu senyum hanya merapatkan tabir bibir. Gugur di pusara sebelum mendengar laungan “mak” kepada yang berjuang. Kini hanya Kasih Husna anak yang terkahir dan pertama melaungkan istilah dan perkataan suci buat insan bernama cikgu Sunita. Allah swt maha Kuasa atas apa yang diberikan kepada keluarga kak Su. Kini sanginsankerdil yakin Kasih Husna menjadi penyeri tiap saat dalam hidup kak Su. Satu nama yang akan terus diabadikan dalam melodi lagu hidup sanginsankerdil. Buat pengetahuan pembaca blog sanginsan kerdil kak Sunita adalah guru yang juga kakak paling periang di SMKGR. Dalam ketegasannya ada mutiara untuk anak-anak SMKGR. 2 minggu mejalani latihan mengajar di SMKGR, sajian pengorbanan Kak Su menjadi hidangan sanginsankerdil. Apapun tahniah untuk Kak Su, bukan kerana kehadiran Kasih Husna semata tetapi kekentalan jiwa dalam memecahkan kedaifan kudrat seorang wanita.

Kisah ini antara sanginsankerdil dengan warga SMKGR yang selalu menjadi igauan sehingga membuat sanginsankerdil senyum dan rasa bersyukur berada bersama mereka. Setiap musafir yang berjuang atas nama pengalaman dan ilmu pasti akan menemui saat bahagia dan perit. Normal kan. 2 Anggun, 2 Adil, 2 Amanah dan 4 Amanah, di sinilah tapak kaki sanginsankerdil banyak terpaut. Bermula dengan gelak ketawa, semangat dalam mendapatkan bingkisan ilmu menjadi ilmuan, pelbagai cerita yang di kongsi, akhirnya tangisan dan kesedihan juga menjadi penghujungnya. Apapun terima kasih untuk warga yang menjadikan hidup sanginsankerdil lebih bersyukur. Segala kad ucapan dan hadiah yang diberi akan dipahat dalam sanubari. Terlalu banyak yang ingin dikongsi kepada pembaca blog sanginsankerdil namun cukuplah sekadar sentuhan bi asa yang berbisa.

1) Jasa kak Marlina Idayu Ismail sebagai guru pembimbing adalah inspirasi untuk menjadi guru terbaik dalam bidang kependidikan.

2) Ira, mas dan Syafiq (2 adil), nadia dan faridzuan (4 amanah), saharuddin (4 adil) dan semua warga SMKGR doa sanginsankerdil buat anda akan selalu diungkap agar hidup anda di kelilingi dengan kejayaan akhirat dan dunia.

3) Sahabat seperjuangan Hairi, kili, Firdaus, Mira, Salmi, Ain dan Aisyah semoga dunia berbangga dengan kehadiran kalian yang memeberi manfaat kepada kehidupan segajat.

4) Para anak didik tarian Sumazau (2 Amanah) dan pengucapan awam ( Adib dan Kiara) teruskan langkah mencipta kejora di pentas sementara ini.

5) Buat adikku Syakirin, hiasilah rentak kehidupan dengan lagu yang dicipta oleh Pencipta bukan dengan hati yang dihantui dengan adegan kekhilafan yang sama.

6) Akhirnya semua warga SMKGR. Salam ukhwah dan junjungan terima kasih.

AYAH…..

Roda kedua sanginsankerdil layarkan untuk anda semua. Apa yang terpatri diharap memberi kekuatan untuk memacu kehidupan yang lebih baik. Mungkin inilah fitrahnya kasih. Yang dikasih bukan milik mutlak hati kita. Jasad yang kita peluk erat akan jadi bayangan dan sejarah silam. 23 Ogos 2010 satu tarikh pilu keluargaku. Pemergian ayahanda tercinta berkat dalam bulan Ramadhan terus mematri langkah agar berfikir tentang alam fana yang sementara. Kesakitan yang ditanggung di dunia telah berkahir buat ayah tercinta. Pusara yang baru semalam aku dan keluarga lawati mengimbau kenangan yang sukar dikubur. Malam itu aku menganjurkan pertandingan badminton tertutup peringkat kampung. Sebaik sahaja giliranku bermain dipusingan pertama, langkahku terus menuju ke bumbung keluarga tercinta. Sambil aku meneguk air untuk menjadi asbab memadamkan dahagaku, aku di sapa oleh mak.

“ din ! din ! din ! mari nak ayah kau ni”

“ kenapa mak?”

“Cepat din”

Aku melihat air mata mak sambil mencium wajah ayah yang sedang menahan sakit membiar tugas malaikat maut memutuskan nyawa dari jasad ayahku. Aku cuba menenangkan mak sambil memujuk hati bahawa inilah masanya aku harus berpisah dengan ayah. Ya memang sudah lama aku memujuk hati sedari ayah yang sakit tenat sejak kebelakangan ini. Tapi aku juga manusia yang punya hati. Seolah-olah aku jadi orang paling lemah dalam dunia. Jasadku yang berdiri terduduk di samping ayah. Tanganku menggeletar dan bibirku kaku. Bila melihat ayah yang menanggung saat kematian, ibu yang menangis teresak dan adik yang memeluk ayah, tubuhku mula membangkit bahawa aku tidak boleh lemah dan lemas seperti mereka. Aku berdiri mengapai mak dan cuba untuk mengajak ayah menyebut kalimah Toyyibah diakhir kalamnya. Alhamdulillah ayah mengucap dengan tenang dan jelas sebanyak 3 kali tepat pukul 11.15 malam.

“AKU BERSAKSI BAHAWA ALLAH ADALAH TUHANKU DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH”

“din”

“Ya mak. Kita kena bersabar menerima kekuasaan ALLAH dan kelemahan kudrat kita sebagai hamba mak”

“Adik-adikku ambillah Al-Quran dan bacalah ‘hati Al-Quran’ moga roh ayah membuka pintu rahmat dan kemurahan Pencipta”.

Ku tutup jasad ayah yang terkujur kaku, mencium dahinya dan memegang erat mak, memeluk rapat adik-adik dan berbisik,

“Ayah telah pergi meninggalkan kita semua, redhalah dengan kehendak Ilahi, inilah yang terbaik buat ayah”. Sambil aku menenangkan mak dan adik-adik hati aku bagai menanggung berat beban perpisahan. Tapi aku punya tugas yang patut diselesaikan. Urusan pengebumian ayah menguatkan aku untuk menahan perit melihat keluargaku dengan air mata. Jiran yang kupanggil dan ku kejutkan di tengah malam mula berkunjung ke rumah. Tangisan keluargaku mengiringi bacaan yassin yang dibaca secara berjemaah. Selesai tanggungjawab membersihkan ayah, aku masuk ke bilik dan mengunci pintu dari dalam. Aku duduk memengang telefon bimbit, kini aku mesti maklumkan kepada beberapa orang anak arwah ayah yang berlainan ibu. Setelah itu aku mula mengahnatar mesej kepada teman-teman. Air mataku terus jatuh menghiasai bumi lebih-lebih lagi bila menelefon adikku yang kini menuntut di salah sebuah kolej dalam memburu diploma.

“ ria, semua yang hidup mesti matikan”

Suaraku yang tersekat-sekat dengan deraian air mata menimbulkan tanda Tanya pada adikku.

“kenapa din abang din, apa yang dah berlaku? Kenapa menangis? Hidup! Mati! Adik tak faham”.

Aku tidak lagi mampu bertahan lantas aku terus menyatakan,
“ayah dah meninggal”

Aku terus mematikan telefon, kekuatan yang berbaki ini bukan untuk mendengar tangisan adikku lagi, bukan untuk melihat keluargaku saling memeluk menangis meratapi pemergian ayah. Kekuatan ini harus aku pupuk untuk melihat kehidupan seterusnya. Ke mana hala tuju keluargaku setelah sumber rezeki keluargaku sudah tiada. Aku bersyukur, saat aku dalam delima sendirian, pintuku diketuk oleh seorang rakan ayah yang juga sudah kuanggap seperti keluargaku sendiri.

“Sabar din, inilahlah yang terbaik buat kita semua, kuatkan semangat menghadapi qada’ dan qadar Ilahi, pak cik tahu sukar untuk menelan kenyataan ini tapi jangan jadikan ini sebagai satu asbab kelemahan diri kita. Yakinlah semuanya akan lebih baik selepas ini. Doa dan bacaan ayat suci sahaja yang mampu kita layangkan buat pengembaraan roh ayah kamu di alam yang kita juga bakal tempuhi”.

Keesokkannya(seperti yang dimaklum) rumahku penuh dengan jiran dan kenalan ayahku yang datang bertandang. 14 daripada 19 anak ayah datang dengan deraian air mata. Aku yang menhan sebak hanya jaguh dihadapan khalayak namun, tewas dengan emosi sendiri. Ucapan syukran yang tidak terhiungga buat jiran tetangga yang memudahkan urusan pengkebumian arwah ayahku. Moga kalian semua juga kan meninggal dalam keredhaan ilahi. Setenang ayahku mengucap syahadah untuk jaminan syurga Ilahi. Amin.

Hari ini dan hari seterusnya hanya kenangan bersama ayah yang berlegar di ruangan rumah ini. Kenangan ini akan terpatri sampai bila-bila. Kepada kalian yang punya ayah lagi di dunia ini hargailah mereka seadanya. Kepada insan yang kusayangi dan bakal menjadi permaisuriku terima kasih kerana semangat dan sudi menemani dikala kesedihan bertandang. Kedatangan keluaraga sayang cukup menjadikan diri ini kuat untuk berdepan dengan fitrah sebuah kasih dan sayang. Kepada sahabat-sahabatku, tiada apa yang dapat diungkap dalam untaian kata melainkan ucapan terima kasih. Kesimpulannya bersamalah kita menadah tangan agar kematian kita dapat mengucap kalimah ALLAH dan penyaksian, dan banyakkan berdoa moga kematian kita juga di hari yang baik seperti bulan Rmadhan atau hari jumaat yang mulia. Aku meyaksikan jasad ayah yang mudah berkat bulan ramadhan. Percayalah kemurahan Allah swt dalam memudahkan ayah melafazkan syahadah mengujakan aku untuk meninggalkan dunia ini dalam bulan barakah RAMADHAN.

KONVOKESYENKU

Lajunya roda yang dikayuh oleh sanginsankerdil membawa pembaca ke era dan epilog yang baru. Rondaan ketiga ini antara aku, keluarga dan majlis konvokesyenku. 11 Oktober 2010 aku,mak dan 2 orang adikku terbang ke bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kali ini kedatanganku bukan untuk menanam namun ingin menerima hsil tanaman di gedung yang banyak sejarah dan ilmunya. Usangnya bangunannya sudah cukup mengggambarkan banyaknya ilmu yang ada di gedung UPSI ini. Setibanya pada pukul 12.30 malam di lapangan terbang LCTT sepupuku Wiwie menjemput dengan mesranya. Kami sekeluarga menginap di rumah sewa sepupuku di Subang Selangor sebelum meneruskan perjalanan ke UPSI pada keesokkan harinya.

Hari selasa (12 Oktober 2010)

Dari Subang, kami menaiki bas ke Kuala Lumpur. Singgah di Pasar seni kami meletakkan barang di salah sebuah penjual pakaian di tepi jalan Pudu sebelum menaiki teksi menuju ke Times Square. Mulanya aku ingin membawa adik dan mak yang pertama kali menjejakkan kaki ke ibu kota Malaysia berjalan kaki sahaja dek kerana jaraknya yang tidaklah jauh. Namun melihat keletihan mak dan adik maka teksi jadi sasaran. Mulanya kami berjalan-jalan melihat jutaan manusia. Mak teruja dengan kebesaran Kuala Lumpur. Aku jadi pemandu pelancong yang menerangkan sedikit sebanyak mengenai Kuala Lumpur. Setelah penat berjalan kami menaiki tingkat paling atas untuk mengisi ruangan perut yang semakin membuak untuk di isi. Setelah mengalas perut kami memfokuskan hala tuju untuk bermain boling. Keletihan berjalan sepanjang hari terubat dengan keseronokan bermain boling. Setelah puasa bermain dan berjalan-jalan di Times Square kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim Perak dengan menaiki bas. Kami di sambut oleh sahabat karibku Aini. Mak dan adik menginap di rumah aini dan aku macam biasa menumpang di bilik Suhaimi. Apapun jasa dan pengorbanan Aini dan Suhaimi sangat aku kagumi. Semoga pengorbanan yang mementingkan orang lain akan menjadi batu loncatan dalam perjalanan mendapat barakah Ilahi. Malam sebelum tidur aku, mini suhaimi dan adikku makan bersama. Mak yang terlalu letih hanya berehat di bilik Aini. Habis makan aku, adik dan Jusih sahabat sekuliahku berkunjung ke pekan Tanjung Mailim bagi menyemarakkan malam pertama di UPSI. Menyanyi dan melalak bersama-sama.

Hari Rabu (13 Oktober 2010)

Pagi ini kami bersarapan di pekan Tanjung Malim. Fokus utama untuk membeli seluar dan kasut yang bakal aku peragakan di majlis Konvokesyen pada keesokkan harinya. Hampir satu pekan juga kami kelilingi untuk mencari seluar dan kasut yang sesuai. Destinasi seterusnya kami bertandang ke pejabat Kor Suksis UPSI bagi menjenguk jurulatih yang sudah lama tidak kutemui. Keakraban masih seperti dahulu. Terima kasih buat jurulatih-jurulatih SUKSIS yang sememangnya amat peramah dan baik hati. Malamnya pula kami meneruskan langkah untuk bersiar-siar ke gerai-gerai konvokesyen. Banyak juga pakaian yang mak beli untuk kenangan dan oleh-oleh sanak saudara di kampung. Penat berjalan mak dan adik mengambil keputusan untuk berehat. Malam itu aku sempat juga bertemu dengan sahabat baikku Johairi. Agak panjang juga lembaran yang kami ungkap dek kerana lamanya masa tidak bertemu.

Khamis (14 Oktober 2010)

Fokus utama hari ini ialah menghadiri majlis Konvokesyenku pada sebelah petang. Pagi ini aku hanya membuat persediaan untuk menghadiri majlis yang sememangnya aku sangat-sangat nantikan. Alhamdulillah masa yang dinanti telah tiba. Seawal 12.00 tengah hari aku sudah berada di hadapan Auditorium utama UPSI bersama keluarga meskipun majlis ini bermula 1.00 petang. Alhamdulillah urusanku semakin mudah dengan bantuan Encik Kamarul dengan menyediakan kederaan yang membawa aku dan keluarga dari kolej kediaman KUO dan KHAR ke Kampus UPSI. Dalam penuh debaran akhirnya aku dinobatkan sebagai graduan UPSI dengan kepujian Sejarah dan pendidikan Islam. Dalam dewan yang serba dengan perasaan gembira, ada beberapa perkara yang membuat aku sanagt terharu. Pertamanya tangisan kawan-kawan yang menanti untuk menerima ijazah. Bayangkan dalam ketidaksabaran menghabiskan segala cabaran bergelar mahasiswa ada juga perasaan sedih kerana akan meninggalkan zaman kuliah yang sangat mengujakan, dan sahabat-sahabat yang bersama-sama menghadapi pelbagai dugaan di bumi UPSI. Keduanya melihat air mata ibu apabila melihat aku akhirnya menggenggam segulung ijazah.

Seperti biasanya apabila majlis selesai sesi bergambar pula menyusul. Adik perempuanku menjadi juru kamera pada hari itu. Banyak juga gambar yang kami ambil bersama. Sangat mengujakan. Sebenarnya hati ini sangat sedih kerana ijazah ini tidak disaksikan oleh ayah tercinta. Apapun inilah kejayaan yang aku hadiahkan buat kelaurga tercinta. Semoga setiap saat kegembiraan selepas ini dapat dikongsi bersama-sama dengan kelaurga yang aku sayangi. ‘Bunga’ yang menjadi latar pengambaranku dengan baju konvokesyen adalah hadiah mak, sayangku dan sahabatku zarul. Ada juga bunga yang dihadiahkan oleh sahabatku kazaruddin namun tidak sempat ku tatapi kerana keadaaan yang kelam kabut pada ketika itu. Apa yang menjadi perkara paling sukar untuk kulupakan apabila mak memakai jubahku. Sangat gembira melihat ibu. Ya sewajarnya maklah insan yang paling layak meragakan pakaian tersebut. Pengorbanannya membesar dan menjadi tulang belakang keluarga semenjak ayah sakit membuahkan hadiah yang diidamkan. Allah itu maha kaya untuk menyajikan apa sahaja dalam kehidupan kita semua kan. Percayalah ganjaran berupa senyuman seorang ibu lebih bermakna daripada segalanya.

Jumaat ( 15 Oktober 2010)

Pagi ini kami sekeluarga bergegas ke Jalan Masjid India untuk mencuci mata ibu dengan pelbagai pakaian-pakaian moden. Tidak cukup dengan tudung dan kain yang dibeli semasa pesta konvokesyen di Tanjung Malim, deretan kedai di jalan Masjid India jadi taruhan pilihan untuk mak. Selesai tawaf kami berkunjung ke KLCC. Bukan alang-alang gembiranya mak meskipun gigi mencengkam kesakitan. Adik lagilah teruja dapat mandi bersama teman-teman barunya. Pemandangan yang indah membuat kami sekeluarga terlupa waktu maghrib yang semakin mendatang. Lebih kurang pukul lapan malam selepas menjamah ayam KFC, kami sekeluarga yang dipandu arah oleh adik sepupuku wiwie bergerak pulang ke rumah sewanya di Subang Selangor. Semua barang yang di beli sama ada untuk keperluan peribadi atau oleh-oleh untuk kelaurga lain di Sabah di simpan dengan rapi. Aku dan adik tidur nyenyak malam itu setelah selesai mengqasarjamakkan solat isyak dan maghrib.

Sabtu ( 16 Oktober 2010)

Hari ini tirai aku dan keluargaku akan berlabuh. Pagi itu kami semua bersiap untuk berangkat ke Lapangan Terbang LCTT untuk pulang ke kampung halaman yang ditinggalkan sepi selama seminggu. Kali ini adik kesayanganku tidak akan pulang bersama kerana harus meneruskan pengajian di bidang Mekantronik. Jadi aku mak dan adik bongsu sahaja yang terbang melewati laut China Selatan untuk mendarat di lapangan terbang Tawau. Alhamdulillah perjalanan penuh dengan kemurahan Ilahi. Semua urusan dipermudahkan. 6 petang kami menjejakkan kaki ke tawau Sabah. Kami dijemput dengan kawan sekampungku johan. Sebelum meneruskan perjalanan ke Ladang Giram kunak kami berkunjung dahulu ke rumah kakakku Hajjah Dety untuk mengambil adik perempuanku yang menetap sepanjang ketiadaan kami di Rumah. Malam itu kami dijamu dengan ikan bakar yang menyelerakan. Lebih kurang pukul 9.30 malam kami bergerak pulang dan sampai dirumah dalam pukul 10.30 malam.

Pejam celik pejam celik akhirnya aku mak dan adik telah pun menghabiskan waktu selama seminggu di negeri orang. Meskipun banyak kekangan dari sudut kewangan, emosi yang belum stabil semenjak pemergian ayah, masalah pengurusan peribadi dan pelbagai kekangan lain. Alhamdulillah semuanya telah dilewati bersama dan kenangan ini amat berharga dalam membina mahligai keluarga yang lebh utuh dan kukuh.

CIKGU CITA-CITAKU

Setelah aku kandas daripada penempatan untuk mengajar seperti sahabat-sahabat perjuangan yang lain aku kini hanya menanti dan terus menunggu apakah waktu untuk aku menggenggam cita-cita akan terlaksana seperti mereka semua. Jujurnya ada rasa sebak dan sangat terkilan dengan apa yang terjadi namun, aku masih menaruh harapan bahawa inilah ujian dan cabaran yang perlu aku selami meskipun ada kalanya aku gugur dengan iman yang tidak seberapa ini. Doaku panjat agar segalanya dipermudahkan. Minggu berganti minggu aku menanti mesej atau mungkin panggilan daripada sahabat senasibku yang belum ditempatkan di mana-mana sekolah. Aku mula membayangkan ada berita gembira yang menyapaku. Apa yang pasti akun hanya mahu membuktikan kepada ibu dan adik-beradikku bahawa aku mampu menggapai cita-citaku. Betapa indahnya panggilan guru yang kunanti. Setelah lama aku menanti untuk temuduga kali kedua aku akhirnya berjaya dalam temuduga tersebut. Ada perkara yang mencuri ruang batinku untuk tatapan warga pembaca blogku.

Pertamanya semasa temuduga aku menumpang di salah sebuah kolej Universiti Malaysia Sabah UMS, bersama sahabat-sahabatku yang baru sahaja pulang daripada India, Pakistan dan Bangladesh IPB. Memang sukar dinafikan akan perubahan yang tertera pada sahabat-sahabatku ini. Bukan sahaja dari aspek pakaian malah pemikiran dan ruang lingkup perbualan mereka juga sangat meningkatkan imanku yang kian naïf ini. Aku sangat kagum dan terharu dengan perubahan mereka. Ada kalanya kau mula berfikir bilakah agaknya Allah memilihku untuk berkunjung ke IPB seperti mereka. Dahulu aku juga punyai azam namun, semuanya punah dengan masalah keluarga yang tidak pernah ada noktahnya. Keduanya cerita semasa sesi temuduga. Ini bukanlah temuaga pertama yang ku hadiri dalam suasana yang formal. Sebelum ini aku pernah bekerja di salah sebuah syarikat swasta. Apa yang pasti sesi temuduga kali ini amat berlainan daripada sebelumnya. Alhamdulillah persediaan bersengkang mata dan melayari internet untuk mendapatkan maklumat berbaloi apabila semua soalannya dapatku jawab dengan agak memuaskan mengikut tafsiran kaca mataku.hu3.

Cerita yang belum dilukis dalam tulisan terus dipatri agar rondaan kehidupan bergema dengan lantangnya.sesungguhnya rentak lagu bergema bukan pada lirik yang di karang membawa naluri dalam dilema kekecewaan. Kadang-kadang kita sedar bahawa hidup hanya sebuah persimpangan yang mutlak namun, kita terus mencari sesuatu yang mutlak bukan milik kita. Berfikir alam fantasi dan terus mencipta angan-angan akhirnya kandas dan kecundang. Adakah mungkin dunia sememangnya tempat untuk mencipta sebuah cerita yang panjang dengan adegan angan-angan dan alam fantasi? Salahkan berangan-angan sebagai manusia yang tahu akan kelemahan dan kudrat yang dianugerahkan? Sejenak kita bertanya akan muncul seribu pertanyaan yang memungkinkan sesebuah jawapan yang pasti. Lagu dengan lirik yang dikarang bukan lagi keindahan yang dititikberatkan namun rentak dan melodi diangkat menjadi raja dan kesudahannya hanya bermaharajalela dalam sanubari.

Ya sememangnya hidup adalah permainan yang di cipta oleh manusia di sekeliling kita. Seorang perokok yang bodoh mungkin akan menyatakan kelebihan dari sudut yang berbeza tentang asap yang dikeluarkan. Namun azab penghidu asap rokok tahu akan kesakitan menghidu asap rokok si perokok. Jauh melangkah bukanlah satu kepastian akan pengalaman yang dibina. Namun, sejauhmana akal membina pengalaman adalah sebuah kepastian yang memerlukan kudrat pemikiran yang jauh ke hadapan. Ilmu yang dicedok bukan hak mutlak individu. Setinggi mana bangunan yang diduduki untuk menimba ilmu dan seluas mana Negara yang dijelajahi untuk ilmu bukan ukuran kepada kekuatan ilmu. Percaya atau tidak, seseorang yang mempunyai izajah atau helaian kertas yang lebih tinggi daripada itu tetapi terperam dalam bumbung dan rongga sendiri tidak akan menjadikannya hebat disisi Pencipta. Percayakah kita juga seseorang yang takut untuk berhadapan dengan pelbagai risiko adalah perkara yang menjengkelkan dalam dunia pendidikan.

Perjalanan yang kita lalui tanpa kebijaksaan adalah perjalanan yang semakin menghampiri usia tua yang munkin menemui kematian. Namun perjalanan dengan kebijaksanaan tidak pernah menemui jalan buntu apalagi mati ditelan masa yang semakin tua. Tamsilannya mudah seseorang yang berilmu akan mati dengan ilmunya jika tidak bijak melempiaskan ilmunya kepada generasi yang mendambakannya, namun pencinta ilmu akan terus hidup meski jasadnya terkujur dalam perkuburan jika pewarisnya terus menelaah. Memang berbeza! Sukar untuk menemui satu manusia yang belajar dari kelemahan dan kesilapan namun amat mudah untuk berkenalan dengan sejuta manusia yang hanya tahu mencipta kesilapan dan mempunyai kelemahan yang sama dan berulang-ulang.

Sekadar bersandar emosi seorang penganggur aku titipkan buat tatapan anda semua. Moga kisah dan beberapa pandangan ini akan mengeratkan hubungan kekitaan kita bersama. Akhirnya salam sayang buat mereka yang meneganali sanginsankerdil.

3 comments:

Ez.Ev official said...

nice pic...ustdz..
chukka hae..

Ez.Ev official said...

nice pic...
chukka hae..

Ez.Ev official said...

nice pic...
chukka hae..

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template