Thursday, September 22, 2011

AYAHKU RINDUKU




Aku peluk erat tubuh ayah, bau badannya aku benar-benar terasa. Erat dakapan ayah sambil air mataku menitis menyentuh kulit pipi dan meresap ke tabir bibirku. Aku kelu tanpa sebarang nota kata yang dapat kuunggap. Aku ingat saat-saat ayahku bergurau dan saat dia menasihatiku sebelum dia bertemu sang pencipta. Tangan mengigil mengusap deraian air mata yang jatuh dengan iringan suara tangisan keesakkan. Sayup-sayup bunyinya. Aku cuba melawan menguatkan jasad, memukul jiwa yang lemah dengan kata-kata yang lahir dari ilham Pencipta. Tapi.... aku sangat lemah, aku tewas dengan perasaan rindu ini. Aku mahu ayahku. Aku rindu dia.

Selepas olat subuh tadi aku rehatkan jasadku di kerusi yang daif sifatnya. Adik angkatku meminta izin untuk pulang dengan segera kerana ada hal yang perlu dilangsaikan. Sesudah itu, aku kembali merebahkan badan di atas tilamku. Aku terlelap sambil lagu luhur kamikaze menyerikan suasana bilikku.

“Aku rehatkan jasad di atas rumah yang belum siap sepenuhnya. Rumah ini betul-betul 50 meter dari jalan raya. Kereta yang lalu lalang mematikan rasa sunyi di kawasan rumah ini. Maklumlah ayahku membangunkan rumah ini di atas tanah kepunyaannya berhampiran dusun buah-buahan kepunyaannya juga. Rumah yang paling hampir dengan rumah ini pun lebih kurang 100 meter. Bayangkan tanah yang selebar 7 hektar ini hanya dihuni oleh 8 keluarga sahaja. Rumah yang siap sepenuhnya pun hanya satu dan yang lainnya masih berhempas pulas membangunkan mahligai untuk keluarga berteduh. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan sebuah kereta yang berhenti dihadapan rumah tempat aku berehat, setelah letih membersihkan kebun buah-buahan ayahku.

Oh... pakcik umar. Kenapa pak cik.

Ni ayah kamu nak sangat jumpa kamu ni

Oh... ayah, kan ayah sakit kenapa datang sini? Takpa la pakcik biar saya bawa ayah ke atas. Nanti kalau saya nak balik saya telefon pakcik.

Ok. Jaga ayah kamu baik-baiknya.

Baikla pakcik.

Aku mendukung jasad ayahku yang semakin mengecil. Emm.. ayah selalu mengeluh yang dagingnya sudah habis dan hanya tinggal tulang dan kulit sahaja. Ayah selalu bertanya kemana hilangnya lemak badannya. Sekali dua kali ayah mengatakan benda yang sama aku hanya berdiam dan tersenyum melihat jasad ayah. Namun kekerapan untaian kata-kata seperti itu, kadang-kadang membuatku sangat sebak menahan jiwa yang lumpuh dengan sifat redha. Apalagi bila ayah berkata masanya mungkin sudah hampir. Pernah juga sewaktu aku masih menuntut di perantauan aku memarahi ayah kerana percakapannya yang mejurus kepada kematian. Aku ingat lagi tatkala aku memenangi pertandingan pidato dan membelikan ayahku baju batik berwarna hijau. Hari lebaran pada tahun akhir aku di Universiti aku hanya mengirimkan pakaian untuk ayah, mak dan adik-adik yang aku beli dengan duit hasil kemenangan dalam pertandingan tersebut. Sememangnya ayahku antara orang yang akan bersemangat apabila mengetahui aku mengikuti pertandingan pidato dan debat. Dari zaman sekolah sehinggalah zaman universiti ayahku penguat jasad di atas pentas untuk menyalakan kata-kata hikmah atas tiket perkongsian ilmu. Aku ingat lagi tatkala aku memasuki pertandingan sajak. Ayahku sanggup datang walaupun aku tahu urusannya belum selesai. Alhamdulillah aku menang. Aku peluk ayah di dalam dewan. Gembira yang kukongsi sangat menghibakan. Di dewan yang sama juga aku menjunjung piala kemenangan pidato peringkat daerah wakil sekolahku.


Semasa aku mebuat persembahan sempena sambutan hari kemerdekaan peringkat daerah, ayahku antara yang memuji dan mendengar dengan khusyuknya. Bayangkan terlalu semangatnya ayah sehingga sanggup duduk di tempat duduk paling atas bagi melihat aku berpidato. Aku lihat bagaimana susahnya ayah menaiki tangga bagi mendapatkan tempat yang selesa semata-mata ingin melihat aku berpidato. Hibanya saat ini.

Setelah meletakkan ayah di tempat aku berteduh, aku merebahkan badan semula bagi mengembalikan tenaga yang telah kutaruhkan di dusun ayahku.

“Ayah rindu sangat dengan kamu din, ayah suruh adik kamu panggil pak cik Umar dan hantar ayah ke sini. Ayah nak tidur sebelah kamu din. Ayah terus merebahkan jasadnya di sebelah jasadku. Aku lihat ayahku menitiskan air mata, meletakkan jari-jemarinya yang longlai diatas bahuku, perlahan dia mengusap bahuku dan berpesan:

“ din ayah dapat rasakan yang ayah tidak sempat merasa nikmat keringat kamu. Berilah kegembiraan pada adik-adik kamu, jagalah mak kamu baik-baik. Ingat, jangan kamu sakiti mereka. Ayah kagum dengan kamu din. Ayah mahu kamu gantikan tempat ayah bila ayah sudah tiada lagi. Kamu kena kuat menghadapi hidup ini din. Jangan biarkan adik-adik kamu tanpa hala tuju. Sayangi mereka din. Kamulah harapan ayah. Kalau kamu Berjaya suatu hari nanti jangan lupakan mereka yang pernah menolong kita ketika kita susah. Ayah tahu dari kecil sehingga kamu besar ayah tidak dapat memberikan apa yang kamu mahu, malah ayah mengerahkan tenaga kamu dikebun kelapa sawit dan di kebun buah-buahan ini. Ayah tahu kamu dan adik-adik kamu penat merasai pelbagai pekerjaan demi memiliki apa yang ayah tidak mampu untuk beri. Ayah minta maaf din”. Ayah tinggalkan rumah ini untuk mak dan kamu adik-beradik. Jangan disebabkan harta kamu bergaduh sesama sendiri. Ingat din.

Aku hanya mendengar sambil melihat air mata ayah jatuh membajai raut wajah yang penuh pengharapan. Aku peluk jasad ayah dan mengangguk. Aku tidak tahan untuk mengeluarkan walaupun sepatah huruf. Dakapan itu seolah-olah aku dapat rasakan. Aku pejam mataku sekuat yang mampu, aku tak mahu ianya berakhir. Aku tak mahu mendengar alunan lagu dari laptopku, aku tak mahu dengar bunyi kipas angin di bilikku, aku tak mahu dengan bunyi apa sahaja yang mengejutkan aku dari pelukan keramat ini.

Tapi... aku tewas jasad ayahku pergi beransur-ansur. Aku membuka mata. Lagu semakin jelas ku dengar, bunyi kipas anginku juga sama. Air mata terus meratap jiwaku. aku melihat dinding atas dalam keadaan menelentang melihat kembali wajah ayah. Mengimbau kembali pesan ayah. Semua tentang dia datang bertandang. Ibarat dinding ini menjadi skrin untuk aku mengenang Haji Ismail bin Karidi. Sakitnya aku menahan rasa rindu ini. Aku bangun dengan perlahan-lahan dan menadah tangan agar Allah mengampuniku yang kadang-kadang tidak redha dengan pemergian ayahku. Aku mencapai komputer ribaku dan melontarkan apa yang kualami hari ini.


Semalam adik angkatku berkongsi cerita tentang ayahnya yang amat menyedihkan dia dan adiknya. Hidup penuh dengan kejahilan dan menjadikan dadah sebagai teman hidup. Kesusahan yang ditanggung olehnya meruntun hatiku untuk mengajaknya ke lembaran senyuman. Sinar penuh dengan tawa dan senda. Tapi aku juga manusia yang tandus itu semua. Mungkin kerana memikirkan dan membayangkan kehidupannya dengan ayahnya aku terbawa ke laman mimpi bersama ayahku. Ayah aku amat merinduimu. Pad kekunci aku tekan dengan air mata yang laju mengalir. Kadang-kadang aku terhenti dek kerana terlalu sebak.

Adik-adikku....

Betapa hati ini hanya untuk kalian. Sayang, cinta hanya kutitipkan untuk kalian. Tidak pernah aku terlintas untuk menyakiti apalagi untuk mrngungkit segala pemberian. Aku tahu kalian juga merasa derita hidup selama ini. Aku cuba mencambakan sedikit senyuman walaupun tanpa ayah disisi kita. Bila melihat tawa dan senyuman kalian, aku semakin kaut menjalani ibadah tanggungjawab sebagai abang dan anak kepada seorang wanita yang kerap difitnah. Kita sama-sama melayari bahtera kehidupan ini dengan mencari redha Ilahi. Tanpa ayah kita memang lemah. Namun kita bina kekuatan itu dengan nilai kasih dan sayang yang ditinggalkan oleh ayah untuk kita semua. Hidup ini sememnagnya memerlukan kesabaran dan kecekalan. Ranjaunya sangat sukar ditembusi. Apa yang pasti wahai adik-adikku, doa dan semangat ini akan terus aku barakan demi keutuhan kita bersama. Salam sayang untuk keluarga tercinta.

Kepada pembaca yang aku yakini kebaikkannya. Teruslah mendoakan aku dan keluargaku demi sebuah perjalanan yang jauh. Ayahku rinduku.

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template