Sunday, July 3, 2011

LANSKAP CINTAKU

3 JULAI 2009 saat yang akan membuatkan hari-hariku berubah kerana bunga yang layu disirami dengan air suci seorang wanita bernama kekasih. Tekadku untuk tidak mempunyai seorang kekasih sepanjang bergelar mahasiswa punah apabila perwatakannya meruntun hatiku yang kononnya gagah menentang keinginan seorang lelaki. Hari demi hari yang berlalu aku dan dia hidup penuh dengan senyuman. Oh indahnya percintaan ini. Alam yang aku terus terjun dan tenggelam ini seolah-olah memberikan aku kudrat dan nafas yang baru untuk menjalani kehidupan onak dengan tidak lagi bersendiri. Dalam setiap tabir bibir yang diungkap kepada sang Pencipta aku titipkan sinar kebahagian untuk kami berdua. Moga saat aku menjadi raja dan dia ratunya akan tiba. Wah saat ini aku duduk melihat wajah gadis yang kucintai menerimaku seadanya. Restu keluargaku dan keluarganya seiringan moga kami disatukan kelak. Mak pernah berkata bahawa dia tidak mahu aku mengahwini gadis selain dia. Adik juga pernah berpesan bahawa inilah jodoh untuk aku. Aku bahagia. Amat bahagia dengan penerimaan keluargaku. Syukur sujud aku rebahkan untuk Sang Pengatur kehidupan. Episod cinta ini juga direstui oleh ribuan kawan, teman, jurulatih sehinggalah pengawal keselamatan kampus tempatku menimba ilmu. Aku yakin inilah jodoh untukku. Aku pernah merasa dia berada di belakangku tatkala aku berimamkan solat jemaah, aku pernah merasa dia berada di hadapanku tatkala helaian kalimat Ilahi aku bacakan dan aku juga pernah merasa dia berada di sisiku tatkala badai kehidupan menghiasi rentak hariku. Keintiman ini amat menceriakan hari-hari seorang lelaki bernama Kamaruddin Haji Ismail.

Pasak kehidupan pencaturan Ilahi atas kelemahanku mencakar nilai cintaku. Krisis demi krisis mula bertandang. Persamaan yang aku dan dia sering banggakan rupanya terselit jua perbezaan. Kami cuba mengatasinya. Cuba merungkainya satu-persatu agar kami tidak lemas dengan permasalahan ini. Namun aku mengambil jalan pintas untuk mangakhiri perhubungan ini dengan kata putus yang amat sakit untuk aku lafazkan. Jiwa dan seluruh anggotaku mengeletar. Malam itu aku sangat gelisah. Aku menunggang motosikal kepunyaan kawanku, pergi tanpa arah kemana hatiku mahu. Panggilan telefonnya aku sengaja diamkan. Sakitnya menangguh perpisahan ini. Aku mula menyesal atas tindakan yang bodoh. Lama aku menanti untuk mengikat jalinan cinta dengannya namun, aku mudah lepaskan dia pergi atas kelemahan kudratku. Malam itu adalah malam ketakutan untuk aku. Setelah lama aku diamkan puluhan deringan telefon yang datang darinya dan kawan seangkatannya, akhirnya aku beranikan diri mendengar suara gadis yang kucintai. Suaranya yang tersekat-sekat menahan pedih perpisahan membuat aku lemas bagai tak bernyawa. Bagiku malam itu akulah lelaki yang paling dayus kerana berani melangkah tanpa cinta darinya lagi.

Ya atas nilai cinta yang ada kekuatan yang aku ada terhapus dengan pujukannya. Aku mula tersenyum sendiri dan seolah-olah tidak percaya inilah takdir untukku. Kami bersama semula melayari bahtera perkasihan atas nama cinta. Kami hiasi setiap permasalahan dengan benih percintaan yang maha hebat. Percutian ke teratak Noraini Abdul Samad membawa kami hanyut dalam dunia cinta. Ibarat aku sudah tidak dapat menilai cinta dari mana-mana perempuan lagi. Jujurnya aku amat mencintainya. Seceria alam yang melingkari setiap penjuru kehidupan insan. Aku semakin mengenali hati, budi dan kejujurannya. Nilai pengorbanan cintanya amat tinggi dan aku amat mengkaguminya. Tiada dayaku menolak keinginan untuk terus mejejaki alam ini dengan nilai cinta darinya dan hanya untuknya. Di saat aku mengalami Kesedihan atas pemergian ayah yang amat kucintai dan kagumi, dialah penghibur dan pembakar semangat untuk aku meneruskan kehidupan ini. Jujurnya ayahku juga amat meretui hubungan kami walau belum pernah menatap wajah dan wataknya. Hatiku yang perit meneruskan langkah kaki dengan kisah pemergian ayah, dihiasi dengan lanskap senda dan tawanya. Alangkah sayangnya aku padanya. Hari konvokesyenku tanpa ayah amat memilukan namun aku bersyukur dia ada disampingku. Kejamnya aku pada waktu itu kerana hanya keinginanku sahaja yang terlaksana sedangkan di hari konvokesyennya aku terbang pulang bersama keluargaku. Katanya keluarga perlu diutamakan, dan dia tidak kisah semua itu. Aku amat mengerti dan memahami perasaannya saat itu. Sepatutnya aku berada bersamanya memberi kuntuman bunga sebagai penghargaan atas kejayaannya. Namun dia wanita yang sangat hebat yang menutup kesakitan demi lelaki yang maha kejam sepertiku. Bulan berganti bulan, hari ulang tahunnya tiba, kesibukanku melayan persatuan yang kutubuhkan di ladangku membuai jauh jiwaku sehingga aku terlupa akan hari ulang tahunnya. Setelah berlalu sehari ulang tahunnya, aku cuba menghubunginya. Aku berkata bahawa aku ingin menjadi lelaki terakhir seperti mana akulah orang terakhir yang mengucapkan “selamat menyambut ulang tahun” kepadanya. Aku menipunya dengan berkata bahawa aku ingat akan tarikh hari jadinya dan sengaja mengucapkannya pada hari berikutnya. Aku ingin menjaga nilai cinta kerana dia pernah berpesan ada 3 perkara yang sukar untuk diterimanya dan salah satunya melupakan tarikh hari ulang tahunnya”. Maka aku cuba berdalih bagi menutup kebodohanku itu. Selepas itu hatiku tidak tenteram dan takut untuk berterus terang. Pada ulang tahunku dia orang yang pertama mengucapkan ungkapan keramat “selamat ulang tahun abangku”.

Aku teringat sewaktu kami sama-sama berjanji dan bertekad untuk menghadiri kursus perkahwinan bersama-sama. Malam sebelum kursus tersebut aku meraihkan sambutan berbuka puasa dan makan sahur bersama seangkatan perjuanganku dalam dunia pengucapan awam. Malam itu aku dan kawan-kawanku tidak melelapkan mata. Dia beberapa kali menelefonku dan mengingatkan akan hari yang penuh makna untuk kami berdua. Aku mengiyakan malah berjanji untuk bersamanya. Pagi itu setelah mengangkut semua barang-barang keperluan aku terus bergegas kerana aku wajib bersamanya. Kursus perkahwinan tersebut tepat pukul 8 pagi. Aku yang sampai di rumah pada pukul 6 pagi melelapkan mata dengan andaian bahawa aku akan bangun sebelum pukul 8 pagi. Keletihan dan penuh kedaifanku membawa aku hanyut sehingga tengahari berlalu. Bayangkan bagaimana sakitnya dia atas kelakuanku. Aku cuba memujuknya dan dalam masa yang singkat dia memaafkanku. Katanya “ abang tidak sengaja melakukan itu, sayang memang terluka kerana abang telah berjanji, tetapi kita boleh mengambilnya sekali lagi bersama-sama sebelum berkahwin nanti” runtun hatiku sangat terharu memiliki gadis sebaiknya. Kemarahannya pupus dengan kata-kata yang cuba diatur untuk melegakan hati yang tercakar dengan kebodohanku.

Detik sejarah hitam sekali lagi bertandang. Mesej yang aku baca darinya meminta agar hubungan kami terhenti di sini. Aku pasrah dengan keputusanya. Aku tahu hatinya sangat sakit apabila aku tidak pernah mengirimkan sebarang berita. Jangankan cuba menghubunginya menghantar khidmat pesanan ringkas sms pun aku tidak lakukan. Kalau dihitung dari segi kos beratusan duit dia habis semata-mata mahu bercakap dengan lelaki bodoh sepertiku. Itu belum ambil kira kos kredit yang diberikan percuma kepadaku. Dayus. Kisah hitam ini rentetan aku menyangka dia mencurigai kesetiaanku dan rasa terkilannya aku seolah-olah diketepikan semasa majlis sukan peringkat daerah di sekolah tempatku mengajar. Ya memang cukup mengada aku ni. Mahu di layan seperti raja namun memberi layanan seolah-olah dia adalah penyapu jalan. Kekejamanku menebal sehingga memboikot sms dan panggilan darinya. Akhirnya dia menghantar sms berani untuk mengakhiri hubungan kami. Aku menghormatinya walaupun sukar menelan. Benar aku sangat sakit dengan tindakannya melayan aku seperti orang bodoh namun itu bukan jalan yang aku mahukan kerana aku masih menginginkan cinta darinya. Hampir 2 bulan kami tiada ikatan cinta namun aku masih menghantar pertanyaan khabar kepadanya. Dia juga sama masih bertanyakan tentang khabarku dan sesekali menyesali perbuatannya dan ingin aku kembali menerimanya. Egoku lumpuh setelah aku mengetahui dia pengsan kerana dia amat mencintaiku. Malam kejadian itu aku memutuskan untuk bersamanya kembali. Hidup berkasihan seadanya. 10 syarat aku berikan sedangkan dia menerimaku hanya dengan satu syarat. Dia hanya mahu aku sms sekali sehari. Syaratku sangat meyiksanya seolah-olah akulah insan yang tidak pernah bersalah. Memalukan. Menjengkelkan.

Semenjak hari itu, aku cuba merubah keadaanku yang sedemikian sifatnya. Aku memberi komitmen sebagai tanda sayang sehingga dia memujiku atas perubahanku. Aku semakin menyayanginya. Namun kesibukan kerjaku melalaikan aku bahawa aku harus memberi komitmen atas nama cinta kami. Bayangkan pekerjaan kami sama namun dia kerap menghubungi dan mengirimkan khidmat pesanan ringkas sms untukku sedangkan aku sering beralasan bahawa aku sangat sibuk. Ya! Inilah kemuncaknya apabila aku lupa akan hari dia menjalani pembedahan tangan. Aku tidak lagi bisa menahan betapa aku sesungguhnya memang lelaki yang bodoh. Pada mulanya aku tidak perasan apakah kesalahan yang telah aku lakukan. Kekerapan yang menurun dari segi penerimaan mesej darinya membuat aku tertanya apakah dia sudah berubah? Aku menghubunginya dan memohon kemaafan atas tingkahku yang terlalu sibuk. Dia amat kecewa dan aku tahu air matanya kering menahan sebak kebodohanku. Namun dia padamkan kebodohanku demi nikmat cinta dariku. Sebagai manusia aku mahu anda membuat penilaian seorang lelaki bernama “Kamaruddin Haji Ismail”.

01) Selama tiga tahun bercinta pernah sehingga 2 minggu tidak mesej dan telefon dia

02) Lupa tarikh penting iaitu hari ulang tahun kelahiran dia

03) Lupa tarikh penting pembedahan tangan maknanya lupa nak bagi kata-kata semangat untuk dia

04) Berjanji menghadiri kursus perkahwinan bersama tetapi tidak dapat hadir

05) Memberi sepuluh syarat berbanding satu syarat yang dipinta oleh dia.

06) Apabila berdepan dengan krisis aku sering mengambil tindakan berdiam diri dan membiarkan dia memujuk.

07) Selalu menerima kredit percuma daripada dia tetapi tidak digunakan untuk sms atau cal dia.

08) Tidak hadir tatkala majlis konvokesyennya sedangkan dia mengenepikan semuanya untuk hadir di majlis konvokesyenku.

09) Selama 3 kali putus hubuungan dialah yang memulihkannya semula dan aku hanya mengangguk tanpa ada tindakan.

Lantaran kejadian yang telah berlaku tekadku bulat. Aku mahu aku dan dia berfikir secara matang dan dewasa. Aku sememangnya tidak layak untuk gadis sepertinya. Dia berhak mendapat lebih atas pengorbanan yang diberikannya. Walaupun aku lemah aku kuatkan untuk melihat ada yang menikmati kebahagian. Aku perlu belajar dan harus menerima hakikat ini.

Jangan lagi dia menangis kerana kesilapanku

Jangan lagi dia kecewa atas kebobrokanku

Jangan lagi dia sakit atas kebodohanku

Maafkan aku untuk semua perkara yang aku lakukan terhadapmu. Maafkan aku kerana menjadi kekasih yang tidak sesempurna yang kau impikan. Maafkan aku kerana membuat hidupmu penuh tangisan. Maafkan aku kerana kisah cinta kita yang menjijikan, maafkan aku kerana merobek hatimu yang lemah. Maafkan aku kerana janji untuk bergelar suamimu aku kuburkan, maafkan aku kerana aku bukan lelaki untukmu, maafkan aku kerana aku pernah mencintaimu, maafkan aku kerana mengabaikanmu, maafkan aku kerana mengakhirinya buat kali ke dua pada tarikh ulang tahun percintaan kita 3 JULAI 2011.

Titik akhirnya aku memohon agar dia menilai aku dari sudut yang berbeza. Aku mahu dia memberi peluang untuk hidup dan rasakan kebahagian dengan nilai cinta bersama orang lain. Perkataan terakhir yang aku dapat cukup membunuh batinku. Dia berkata “ sayang tidak mahu tengok muka abang lagi”. Ya muka yang telah menjahanamkan nilai cintanya, muka yang banyak mendustai cinta, muka yang berjanji mendirikan mahligai namun meruntuhkan sebelum memulakan, muka yang tidak lekang dari kesilapan, muka yang penuh kerapuhan cinta, muka yang pupus nilai kasihnya, muka yang keji perjalanan cintanya, menyakitkan, memedihkan, membawa derita dan kesengsaraan.

Pesanku buat pemuda yang bakal merajai hatinya.

Jagalah dia bukan kerana cinta dan pegorbanannya semata tetapi anugerah Ilahi buatmu. Jangan pernah kau sakiti kejujurannya kerana dia sangat sempurna. Kesetiannya tinggi nilainya. Suatu masa bila kau berdepan dengan amarah kau letakkan nilai cintanya dihadapanmu. Selalulah kau sujud atas kelemahanmu dan jadikan dia kewajiban dalam setiap doamu. Sesekali kalau kau rasa sangsi akan cintanya peganglah nilai cinta yang kau beri untuknya, kalau kau masih ragu yakinlah ada doa yang mengiringi langkah kalian.

Aku!!! Tidak mampu untuk lakukan ini untuknya. Aku berundur atas kelemahanku. Aku harap aku dan dia realistik akan perkara ini. Cinta bukan untuk menyakiti dan disakiti tetapi untuk mendapatkan kebahagiaan dan memberi kebahagiaan. Setelah aku telan kebahagian dan memuntahkan kepedihan di hati seorang insan yang kusayangi aku rela memulakan hidup sebagai manusia biasa di permukaan bumi yang luar biasa.

Doaku untuk dirinya

Ya Allah aku hadir untuk sekian kalinya dihadapanMu, pujian yang maha tinggi aku alunkan untuk kau mendengar rintihan ini. Aku bersyukur dengan rentak takdir yang Kau aturkan untukku sepanjang kehidupan ini. Berilah kebahagian kepada ayahku di alam sana dan berilah kebahagian untuk keluargaku di alam ini. Ya Allah air mata ini jadi saksi kelemahan kudrat dan batinku. Ampunkan dosaku atas apa yang telah dan akan berlaku. Ya Allah aku mohon dengan nilai keimananku yang sedikit ini kau berilah kebahagiaan untuk insan bernama H*****H M******N dunia dan akhiratmu. Ampunkan setiap kesilapan dan kesalahannya. Dia hambamu yang lemah dan atas kelemahannya Kau berilah dia kekuatan untuk terus hidup dan bernafas seadanya. Hiaskanlah syurga untuknya dan berilah dia bauhan syurga di dunia ini lagi Ya Allah. Temukan dia dengan insan bergelar suami yang setaraf dengan kejujuran, pengorbanan dan kesetiaannya. Ya Allah dengan rahmatmu jua berilah yang terbaik untuk kehidupannya. Amin

Pesanku untuk si dia

Terimalah keputusan ini atas dasar kerasionalan akal sebagai manusia dewasa. Teruskan kerjaya dan impian dalam dunia pendidikan. Jadilah insan yang banyak memberi daripada banyak menerima. Kuatkan diri kerana Allah akan selalu bersama kita. Ingat kehidupan ini bukan di sini sahaja, akhirat ada untuk kita semua. Sesungguhnya aku tidak layak memberi nasihat untukmu namun inilah gerak hatiku untukmu. Teruskan melangkah. Jodoh bukan kita yang tentukan. Apa yang terjadi anggap ia sebagai pengalaman yang wajib di tempuh oleh setiap insan. Sesukar manapun melupakan semua yang telah terjadi harus di ingat kita akan mencipta lembaran yang baru dan merempuh pegalaman yang baru. Sekiranya kesalahan ini tidak kau maafkan aku rela. Segala kesakitanmu bersamaku dulu biarlah menjadikan kau wanita paling gagah dalam sejarah dan diari hidupmu. Segala benda yang menjadi kenangan antara kita biarlah tersimpan rapi sepertimana aku juga begitu. Tolong sampaikan salam peluk pukul aku pada si didi. Jagalah dia baik-baik. Sudahlah meratapi dan menangisi apa yang telah berlaku dan alangkah baiknya berfikir untuk masa depan yang lebih baik. Bersikap profesionalismelah dalam pekerjaan. Kuatkan semangat dan bawalah kekuatan yang ada untuk terus hidup. Buanglah aku jauh-jauh dalam diari hidupmu. Anggap aku telah pergi untuk selamanya. Setiap kali air matamu jatuh kerana kesakitan yang aku lakukan aku harap dibalasi dengan kebaikan oleh Ilahi. Aku akan pupuskan panggilan sayang untukmu. Halalkan semuanya untukku. Salam sebagai umat islam dariku untukmu yang pernah menjadi lanskap kebodohanku. Terima kasih untuk segala lanskap kebijaksanaanmu sepanjang perhubungan ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template